TIGA pengebom berani mati Bali (dari kiri) Ali Ghufron, Imam Samudra dan Amrozi Nurhasyim. - foto AP

TIGA pengebom berani mati Bali (dari kiri) Ali Ghufron, Imam Samudra dan Amrozi Nurhasyim. - foto AP

[DIKEMAS KINI] JAKARTA: Kerajaan Indonesia akan melaksanakan hukuman mati ke atas tiga pengebom Bali, yang berlaku lima tahun lalu, awal bulan depan.

Mereka terdiri daripada Imam Samudra dan adik-beradik, Amrozi Nurhasyim dan Ali Ghufron yang merupakan anggota Jemaah Islamiah (JI).

Siri rayuan mereka telah pun ditolak oleh mahkamah.

Malah, kesemua mereka sebelum ini enggan memohon pengampunan daripada Presiden Susilo Bambang Yudhoyono selepas Mahkamah Agung menolak rayuan terakhir mereka.

Hukuman itu dilaksanakan setelah lima tahun Imam Samudra, Amrozi dan Ali didapati bersalah kerana melancarkan serangan bom ke atas kelab malam di Kuta, Bali yang meragut 202 nyawa pada Oktober 2002.

Mereka kini ditahan di penjara yang dikawal ketat di Pulau Nusakembangan iaitu tempat sama hukuman mati akan dijalankan.

Ketiga-tiga mereka bertegas untuk mati syahid kerana menganggap apa yang dilakukan oleh mereka sebagai suatu jihad.

Dalam pada itu, laporan Bernama menyebut pelancong Australia diingatkan supaya menimbangkan semula cadangan untuk melancong ke Indonesia selepas negara itu mengumumkan akan menghukum mati pengebom Bali.

Jabatan Hal Ehwal Luar dan Perdagangan Australia (DFAT) mengeluarkan nasihat baru bagi perjalanan ke Indonesia, memberi amaran yang pelaksanaan hukuman terhadap tiga individu itu mungkin mengundang risiko keganasan.

“Pada 24 Oktober kerajaan Indonesia mengumumkan tiga individu yang disabitkan terlibat dalam kejadian letupan bom di Bali pada 2002 akan dihukum mati pada awal November,” menurut nasihat perjalanan dalam laman web Smarttraveller DFAT.

“Kami menasihatkan anda menimbangkan semula keperluan anda untuk pergi ke Indonesia, termasuk Bali kerana pada masa ini wujud ancaman akan berlaku serangan keganasan.

“Jika anda memutuskan untuk pergi ke Indonesia, anda perlu berhati-hati,” katanya.

Juga dinyatakan dalam nasihat perjalanan itu bahawa pihak berkuasa Australia berterusan menerima laporan yang pengganas merancang serangan terhadap sasaran termasuk tempat tumpuan warganegara Barat dan pelancong asing di Indonesia.

“Anda perlu mengelakkan berada di tempattempat yang mungkin menjadi sasaran pengganas,” katanya lagi.
mStar