Abdul Hadi Awang: Sunni Turut Menanti Imam Mahdi (Siri II/Terakhir)

By Aqil Fithri at 11 October, 2008, 12:41 am

Kalau menurut Seyyed Hossein Nasr dalam The Heart of Islam: Enduring Values for Humanity, makna iman antara Sunni dan Shi’ah ada perbezaan yang ketara. Iman, di dalam makna Sunni memang digunakan dalam banyak konteks, tetapi di dalam Shi’ah mereka menggunakannya hingga melampaui konteks yang esoterik dan mistik. Kerana itu, mazhab Shi’ah lebih dekat dengan peristiwa-peritiwa eskatologi berbanding dengan Sunni.

Dalam wawancara ini, Ummahonline.com berkesempatan untuk meneroka fikiran Presiden PAS mengenai hubungan antara dua mazhab yang mempunyai sejarah yang cukup tua ini. Dan, yang menarik dari wawancara ini ialah, bagaimana Tuan Guru Dato’ Seri Abdul Hadi Awang—sama seperti JAKIM–merumuskan ketidaksesuaian penyebaran ajaran Shi’ah yang sarat eskatologi itu di Malaysia.Islam berkembang, dan telah membentuk beragam fikiran, yang mana dewasa ini kita kenali sebagai mazhab. Apa sebenarnya sikap PAS terhadap kepelbagaian mazhab yang wujud dalam Islam ini?

Mazhab islam adalah mazhab fekah. Ini satu kekayaan dalam ilmu islam. Dengan sebab itu, bila kita hendak mentaabir negeri, kita mempunyai pandangan yang pelbagai mazhab. Ini kekayaan bahan yang terdapat dalam Islam, yang membolehkan kita melaksanakan shariat. Sebagai contoh umpamanya, kita hendak laksanakan undang-undang yang berkaitan dengan kehidupan masyarakat. Di sana ada mazhab Maliki, Hambali, dan Hanafi yang lebih kuat dari mazhab Syafie. Kita tidak terikat (pada salah satunya). Ini kerana, mentaabir negara lain dari menjadi imam sembahyang. Imam sembahyang mungin kita boleh ikut mazhab Syafie. Tapi, dalam masalah tanah sebagai contoh, kita mengikut mazhab Hanafi. Masalah kerakyatan sebagai contohnya, oleh kerana Imam Syafie dia hidup di Hijaz, negeri yang tidak ada orang Kristian, negeri yang tidak ada penyembah berhala, maka masalah kerakyatan di sana agak sempit. Tapi Imam Hanafi yang tinggal di Baghdad, Iraq, di mana suasananya masyarakat majmuk, maka pandangannya lebih terbuka dalam masalah ini. Begitu juga mazhab Maliki sebagai contoh, yang mana mereka pernah berkuasa di Andalus, Sepanyol, dan di sana Mazhab maliki banyak menghasilkan pandangan-pandangan yang baru sesuai dengan suasana masyarakat majmuk. Ini kekayaan yang sangat baik dalam fekah Islam.

Kalau kita menyentuh mengenai kekayaan, kita melihat dalam Islam terdapat juga mazhab Shi’ah yang diiktiraf oleh Sheikh Mahmoud Shaltout, sebagai salah satu mazhab dalam Islam. Apakah PAS sedia untuk menerima kekayaan yang wujud mazhab Shiah ini, sama sepertimana kekayaan yang wujud dalam empat mazhab tersebut?

(Kita bersedia menerima) fekahnya, bukan aqidahnya. Aqidahnya ada perkara yang kita tolak. Kita sering membincangkan siapa yang paling layak menjadi khalifah, Abu Bakr, atau Umar, atau Uthman, atau Ali yang paling layak menjadi khalifah. Walhal, mereka semua telah mati. Ini satu kebodohan kita bincang siapa layak menjadi khalifah. Itu sebab yang saya tolak untuk membincangkan siapa sahabat Nabi yang paling layak menjadi khalifah. Sepatutnya, kalau dalam fekah, kita boleh bincang, di mana ada fekah-fekah mazhab Imamiyyah yang boleh kita lihat. Malah, mereka juga terima mazhab Syafie. Sebagai contoh, sebelum ini Khomeini mengarahkan sembahyang Jumaat, sedangkan ulama’-ulama’ mereka yang fanatik mazhab tidak mahu sembahyang Jumaat. Mereka mahu menunggu Imam Mahdi terlebih dahulu. Tapi, Khomeini sudah menganjurkan sembahyang Jumaat, sepertimana orang Sunni juga. Begitu juga sewaktu menunaikan Haji di Makkah. Mereka pergi Haji dan sembahyang di belakang Imam Masjidil Haram. Kalau dulu, semasa Shah Iran dulu, mereka tidak sembahyang begitu. Ini satu perubahan. Mereka terbuka, dan kita juga terbuka dalam masalah ini.

Shiah mempunyai beberapa amalan yang aneh. Manakala pihak JAKIM telah bertindak pantas dengan menyenaraikan mazhab Shiah sebagai sesat. Bagaimana Tuan Guru melihat perkara ini?

Tindakan JAKIM ini kerana tindakan (pengikut Shi’ah) yang menyebarkan mazhab di kalangan Sunni. Itu menjadi masalah. Sebab itu, saya tidak bersetuju mereka datang untuk menyebarkan mazhab Shi’ah. Itu tindakan yang tidak betul. Mereka jangan sebarkan mazhab supaya orang menjadi Shi’ah, itu satu tindakan yang salah. Yang saya tekankan sebelum ini adalah masalah fekah, yang juga merupakan masalah pelaksanaan Islam. Kita kaji semua, termasuklah pendapat Imam Ja’far as-Shadiq. Ini yang pentingnya. Dan hal Ini terserah pada ulama’. Ini bukannya kita hendak sebarkan mazhab pada orang awam. Itu tindakan yang tidak betul, kerana tindakan itu akan menjadi masalah dalaman. Dengan sebab itu, saya bersependapat dengan JAKIM, bahawa menyebarkan mazhab di kalangan rakyat biasa adalah satu benda yang tidak elok. Ini akan menimbulkan masalah dalaman kepada umat Islam.

Tuan Guru ada juga menyentuh mengenai amalan mazhab Shi’ah yang menanti Imam Mahdi. Tidakkah itu amalan yang aneh?

Orang Sunni juga menanti Imam Mahdi. Kepercayaan Imam Mahdi juga adalah dalam Sunni. Bahkan, dalam kitab Mustika Hadith, jilid yang pertama, yang dikeluarkan oleh Jabatan Perdana Menteri, di dalam kitab tersebut turut menyebut tentang kelahiran Imam Mahdi. Mengapa ini tidak diharamkan? Ini menunjukkan kita Sunni turut menerimanya. Cumanya, kepada kita Imam Mahdi ini lahir seperti manusia biasa, ditaarbiyah seperti manusia biasa, dan dari keturunan Nabi SallAllahu Alaihi Wasalam, serta mempunyai ciri-ciri kepimpinan. Sebaleknya orang Shi’ah, dia tunggu, dia kata Imam sudah zahir lebih kurang seribu tahun dahulu. Bagi mereka, Imam Mahdi telah zahir, dan kini bersembunyi, dan kemudiannya akan zahir di akhir zaman. Kita (Sunni) kata, Imam Mahdi zahir macam manusia biasa. Shi’ah kata, Imam Mahdi telah zahir, cumanya bersembunyi sahaja. Saya rasa bila Imam Mahdi keluar, selesai masalah ini.

Tapi, bukankah dalam salah-satu buku Tuan Guru, dalam tafsir Surah as-Saff, Tuan Guru ada menyebut “di mana Imam Mahdi semasa Bosnia & Herzegovina ditindas.” Kata-kata Tuan Guru itu boleh ditafsirkan bagaimana?

Saya tidak ingat bila saya begitu. Saya rasa saya tidak sebut. Dalam kes Bosnia & Herzegovina, saya bersama dengan Nejmetin Erbakan pergi ke PBB, buat pertemuan dengan Iran, pertemuan juga dengan Perdana Menteri Malaysia sendiri, Dr. Mahathir, juga pertemuan-pertemuan dengan pimpinan negara Islam yang lain supaya sama-sama menangani masalah Bosnia & Herzegovina pada masa itu.

Tuan Guru sebelum ini pernah terlibat dalam al-Taqrib Bainal-Mazahib yang diusahakan oleh Iran semenjak dahulu lagi. Apakah Tuan Guru maseh terlibat, apa pandangan Tuan Guru terhadap pendekatan tersebut?

Saya maseh terlibat, dan Iran menghadapi masalah ulama’-ulama’ mereka yang fanatik dengan mazhab mereka. Ulama’ seperti ini maseh wujud dan mereka menolak kerajaan Iran itu sendiri, yang mana mereka ini terikat dengan aqidah mazhab. Aqidah lain, masalah fekah ini lain. Dengan sebab itu, kita menolak masalah aqidah ini. Masalah fekah yang perlu kita kaji. Dan al-Taqrib Bain al-Mazahib ini telah mengeluarkan beberapa buah kitab yang mengumpulkan pandangan-pandangan fekah secara bersama antara Sunni dan Shi’ah.

Jadi, nampaknya Sunni dengan Shi’ah ini tidak melibat perbezaan antara iman dan kufr?

Ini adalah masalah cabang. Tapi bukan semua Shi’ah, tetapi Shi’ah Imamiyyah dan Zaidiyyah sahaja. Apapun Shi’ah yang lain, selain dari dua ini, mereka telah keluar dari Islam.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, Mursyidul Am PAS pernah meminta ahli-ahli PAS yang memelok ajaran Shi’ah–yang dikatakan JAKIM sebagai sesat tersebut–agar keluar dari PAS. Tuan Guru sendiri atas nama Presiden PAS bagaimana?

Sama. PAS tidak benarkan ahlinya menganut mazhab Shi’ah!

Iran dan Arab Saudi merupakan dua buah kerajaan yang dikaitkan sebagai negara Islam. Tapi, Iran dilihat menentang Amerika Syarikat, manakala Arab Saudi pula dilihat rapat dengan Amerika Syarikat. Di antara dua negara tersebut, apakah model bagi negara Islam yang dicitakan oleh PAS? Atau PAS ada model yang tersendiri?

Ya. Kita ada model yang tersendiri. Kita, sebagaimana yang ada dalam al-Qur’aan, sebagaimana yang ada dalam Hadith, dan yang ada dalam kitab-kitab fekah, dan di sana ada kelemahan-kelemahan yang berlaku di Iran, dan di Arab Saudi juga. Ini di mana, Arab Saudi sangat terikat dengan mazhab wahhabi. Dan Iran pula sangat terikat dengan mazhab Shi’ah. Bahkan, ditulis dalam perlembagaan Iran itu, seolah-olah Sunni itu golongan majoriti. Itu satu tindakan yang silap. Itu tidak betul dalam Kerajaan Iran. Tapi dasar luar negara mereka, kita sokong. Arab Saudi pula, mahu menekankan masalah Wahhabi. Tapi, saya rasa hari ini sudah ada perubahan semenjak Raja Abdullah bin Abdul Aziz Al Saud menjadi Raja Arab Saudi, dan sikap keterbukaannya dengan Iran. Hal ini ternyata bila mereka bersefahaman dalam masalah nuklear Iran. Persefahaman ini suatu tekanan kepada Barat, dan ini satu perubahan yang sangat penting kepada dasar kedua negara tersebut. Jadi, kita harap ini satu pendahuluan ke arah menyatukan ummat Islam.