Jimadie Shah Othman | Oct 9, 08 2:34pm

kemaskini 7pm Institusi mufti di negara ini “tidak pernah ditekan” oleh pemimpin politik kerajaan dan isu ini tidak pernah berbangkit dalam muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan, kata seorang mufti berpengalaman.

“Selama 24 tahun saya menjadi mufti, tidak ada (tekanan). Saya bebas mengeluarkan pandangan,” kata Mufti Perak Datuk Seri Harussani Zakaria kepada Malaysiakini.

“Di negeri-negeri lain pun, setahu saya tidak (kes tekanan).”

Diminta mengulas dakwaan wujud “permainan politik” sehingga menyebabkan Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin meletakkan jawatan hujung bulan ini, Harussani berkata “saya tidak tahu.”

Harussani, yang juga ketua Majlis Mufti Malaysia, berkata beliau sekarang tidak lagi mengeluarkan banyak kenyataan kepada media bukan kerana tekanan politik.

“Bukan saya tidak keluarkan pandangan. Tetapi tidak ada orang yang datang bertanya. Kalau setiap hari orang datang bertanya, setiap harilah saya berikan pandangan,” katanya.Persatuan Ulama Malaysia (PUM) bagaimanapun menganggap perkembangan di Perlis itu sebagai “pengulangan” kes-kes tekanan pemimpin politik terhadap institusi mufti seperti yang terjadi pada bekas mufti Selangor Datuk Ishak Baharom dan Harussani sendiri.

Yang Dipertua PUM Dr Wan Salim Wan Mohd Nor berkata insiden ini menunjukkan kurangnya pengiktirafan terhadap institusi ulama di negara ini.

“Isu yang lebih besar adalah pengiktirafan kepada institusi ulama. Kita tidak boleh lihat semata-mata dalam konteks politik.

“Institusi mufti mesti diiktiraf dan diambil pandangannya. Ia harus diberi kebebasan tanpa tekanan politik,” katanya.

Ishak tidak disambung kontraknya selepas kontroversi isu ratu cantik yang disertai gadis Islam pertengahan 1990-an, sementara Harussani ditegur berhubung pandangannya tentang sambutan bersama Aidilfitri yang diraikan bersama perayaan hari kebesaran bukan Islam tahun lepas.

Mengulas sebab berlakunya campur tangan politik terhadap institusi itu, Dr Wan Salim berkata:

“Perkara ini mungkin ada kaitan dengan proses pelantikan. Jika mufti dilantik pihak politik, sudah tentu jatuh bangun bergantung kepada kumpulan itu.”

Ekoran itu, untuk mempertahankan integriti institusi berpengaruh dalam dunia Islam itu, proses pelantikan mufti perlulah bebas daripada pengaruh politik supaya lahirnya tokoh yang berwibawa, katanya.

Berdasarkan situasi semasa, tambahnya, beliau sedih apabila terdapat pandangan ulama yang dipertikaikan sesuka hati oleh ahli-ahli politik yang tidak berkelayakan dalam bidang agama.

Perkara itu disifatkannya sebagai “pakar komputer cuba menasihat pakar bedah”.

Walaupun begitu, tambah Dr Wan Salim lagi, masih terdapat segelintir mufti dan ulama yang bersikap bebas.

Dr Wan Salim mencadangkan pelantikan jawatan penting agama itu dibincangkan di peringkat Majlis Mufti Malaysia. Hrkh