JATUH DALAM PERIUK GULAI … Muhammad Adip Alif Mohd Asri, 2, dari Taman Wira Mergong di sini dipangku ibunya Ana Malehk, 20, selepas menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah selepas terjatuh ke dalam periuk kari gulai yang dimasak untuk jualan di Bazar Ramadan, di Alor Star, hari ini.

-BERNAMA
ALOR STAR: “Saya hampir pengsan apabila melihat anak terendam dalam periuk gulai daging rebung yang masih mendidih sambil meraung kesakitan,” kata Ana Malehk, 20, ibu kepada Muhammad Adip Alif, 2, yang melecur separuh badan dalam kejadian itu.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.40 tengah hari di restoran milik keluarganya di Taman Wira, Mergong di sini, semalam, mangsa leka bermain seorang diri di dapur restoran ibu bapanya.

Difahamkan, mangsa tergelincir ke dalam periuk berukuran kira-kira 0.5 meter dari kiri ke kanan menyebabkan 50 peratus badannya hingga ke lutut melecur.

Menurut Ana, apabila mendengar anak tunggalnya meraung kesakitan, dia dan ibu mentuanya, Azizah Hassan, 48, terus meluru ke dapur restoran untuk mengetahui apa yang berlaku.
Dia kemudian mendapati separuh badan anak lelakinya terendam dalam periuk gulai yang masih mendidih.

“Saya begitu cemas apabila melihat kejadian itu, lebih-lebih lagi apabila mendapati dia meraung kesakitan dalam periuk itu,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, semalam.

Mereka menarik keluar Muhammad Adip sebelum menyapu kicap dan ubat gigi ke bahagian melecur untuk mengurangkan kesakitan.

Muhammad Adip dibawa ke HSB untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Sementara itu, bapa Adib, Mohd Asri Azizan, 28, berkata ketika kejadian, isteri dan ibunya bersama dua pembantu sedang memasak lauk-pauk untuk berniaga di pasar Ramadan di Jalan Putera di sini.

Dia berkata, periuk berisi gulai itu baru selesai dimasak dan diletak di lantai dapur restoran oleh isterinya tanpa menyedari Muhammad Adip sedang bermain di situ.

“Anak saya memang aktif. Ketika bermain di dapur restoran, dia tiba-tiba terlanggar periuk itu sebelum jatuh ke dalamnya,” katanya.

Muhammad Adip bernasib baik kerana berpakaian lengkap dan memakai lampin pakai buang menyebabkan kemaluannya tidak melecur.

“Saya tidak dapat bayangkan jika ketika kejadian dia tidak berbaju atau tidak memakai lampin pakai buang. Apapun, saya bersyukur kerana dia dapat diselamatkan dengan cepat,” katanya.

Menurutnya, ketika kejadian, dia berada dalam rumah kira-kira lima meter dari restoran berkenaan.

“Sebaik mendengar jeritan isteri, saya terus berlari ke restoran dan mendapati Muhammad Adip sedang dipangku dalam keadaan kesakitan,” katanya.

Difahamkan, mangsa mengalami kecederaan serius dan kini ditempatkan di Unit Rawatan Kebakaran HSB.

Keadaannya dilaporkan stabil.