Posted by: Kujie in: Artikel

Salah satu strategi untuk berhenti merokok adalah dengan berpuasa. Ini adalah kerana berpuasa boleh menjadi satu usaha pembentukan siasah diri ke arah yang lebih sempurna. Oleh itu bulan puasa sepatutnya dimanfaatkan untuk tujuan ini dan membuang tabiat yang merugikan itu.
Tabiat merokok menghasilkan sekurang-kurangnya dua jenis pergantungan.
Pertama pergantungan psikologi atau mental. Ini termasuklah keselesaan bersosial yang sering dijadikan alasan untuk terus merokok. Malah ada perokok yang mendakwa kononnya merokok boleh memberikan ilham atau motivasi untuk mencapai matlamat.
Kedua pergantungan fizikal atau jasmani di mana seseorang itu mengalami ketagihan dan menyebabkan pelbagai kesan jasmani apabila ia berhenti merokok.
Berpuasa merupakan satu latihan yang amat berfaedah khususnya untuk mengatasi pergantungan akibat merokok. Ini terbukti kerana semasa berpuasa ramai yang dapat menahan diri daripada merokok. Di sini letaknya soal azam, apa lagi dengan kesedaran bahawa amalan rokok itu sering berlawanan dengan kehendak agama dari segi pembaziran wang dan usia.
Persoalannya mengapa sebaik saja berbuka puasa ataupun Hari Raya tidak kurang pula yang kembali merokok. Di sini letaknya niat satu proses mental yang boleh mengatasi tabiat merokok.
Pada bulan Ramadan ini Pusat Racun Negara ada menawarkan Perkhidmatan Telekempen Antimerokok untuk membantu anda berhenti merokok. Jika anda memerlukan bantuan sila dail 1-800-88-8099 (talian bebas tol).

Jie ~ Ini adalah entry saya tahun lepas sempena Ramadan 1427H tetapi rasanya topik ini tetap relevan sepanjang masa kerana dalam kekecohan rakyat bercerita tentang harga ayam melambung tinggi, kenaikan harga tepung juga kesukaran mendapatkan minyak masak, ada segelintir rakykat Malaysia begitu mewah berbelanja. Tak percaya? klik sini..! tengok sendiri.